Noor Saadah Kamarudin (kanan) membawa anaknya Adam Fathurrahman Fairuzzani memilih cermin mata sewaktu program Selangor Saring hari ini. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Saring: Pelajar teruja dapat cermin mata percuma

KUALA SELANGOR, 12 JUN: Seorang ibu mengambil kesempatan penganjuran program Selangor Saring bagi mendapatkan cermin mata percuma untuk anaknya.

Noor Saadah Kamarudin,36, berkata dia mengsyaki anaknya Adam Fathurrahman Fairuzzani,9, mengalami masalah rabun selepas mengadu pening kepala dan sukar melihat papan putih ketika berada dalam kelas.

“Minggu ini memang rancang nak bawa pergi kedai optik. Kebetulan dapat maklumat berkenaan program ini, jadi saya bawa Adam ke sini.

“Lepas jalani ujian mata percuma, juru optik maklumkan memang ada rabun dan diminta pilih cermin mata. Alhamdulillah urusan mudah dan rezeki dapat percuma,” katanya.

Sementara itu pengusaha kantin sekolah, Mohd Salleh Ahmad,53, menganggap pemeriksaan kesihatan percuma ith dapat membantu penduduk terutamanya yang berpendapatan rendah.

“Kalau periksa dekat luar (klinik swasta) kena sedia beratus-ratus. Nak buat cermin mata pun kena sediakan lagi.

“Tapi hari ini saya dapat periksa semua tanpa bayaran. Sekarang pun ekonomi tak cantik, pendapatan tak banyak. Jadi program ini membantu saya,” katanya.

Hari ini program Selangor Saring diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Tiram Jaya untuk penduduk DUN Permatang dan Sungai Burong.

Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin mengambil inisiatif memberi cermin mata percuma kepada 50 peserta terawal.

Selangor Saring dianjurkan sejak 11 Mei dengan peruntukan RM3.4 juta yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :