EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyampaikan tazkirah pada program Khayra Ummah sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Al Amaniah Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Pendidikan jamin masa depan anak muda lebih baik

GOMBAK, 1 OGOS: Anak muda perlu meneruskan pengajian hingga ke peringkat yang lebih tinggi walaupun ramai memilih untuk menjadi pempengaruh di media sosial.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam berkata beliau mengakui pendapatan yang diraih golongan itu tinggi tetapi ilmu serta pendidikan tidak boleh diabai.

“Anak-anak kita mula tertarik dengan kerjaya yang tidak perlu masuk ke universiti tetapi mampu menjana pendapatan. Contohnya seperti membuat kandungan di media sosial.

“Mereka kemudian mempunyai jutaan pengikut dan akhirnya mereka menganggap ia kerja yang mudah, popular dan pulangan yang lumayan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata demikian ketika Bicara Khayra Ummah yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Al Amaniah di sini, semalam.

Mohd Zawawi berkata beliau bimbang golongan itu mungkin hilang pendapatan sekiranya gagal mengawal diri dan membuat kesilapan dalam bidang berkenaan.

“Proses pendidikan, disiplin yang kuat perlu ada, kita bimbang nanti apabila berdepan cabaran akan berlaku fenomena mereka menarik sokongan.

“Individu ini akan jatuh tersungkur dan tidak akan bangkit. Ini berlaku sekarang di mana mereka yang ramai pengikut ini hilang selepas mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan rasa tidak senang masyarakat,” katanya.


Pengarang :