Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Ramal yang menawarkan barangan asas segar dengan harga murah berbanding pasaran di perkarangan Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi, Kajang pada 16 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

300 ayam terjual dalam sejam setengah di jualan murah PKPS Kompleks PKNS Bangi

KAJANG, 16 SEPT: Sebanyak 300 ekor ayam habis terjual dalam tempoh sejam setengah pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Kompleks PKNS, Bangi di sini, hari ini.

Pengarah program Mohd Bukhari Bachok berkata daging, ikan kembung dan telur yang disediakan sebanyak 300 unit setiap produk turut habis dalam tempoh sama.

“Sambutan menggalakan itu berikutan promosi yang diadakan secara besar-besaran dengan orang ramai mula berkumpul pada jam 8.30 pagi.

“Dalam tempoh sejam sahaja hampir 80 peratus barang habis terjual. Kita jangka jam 1 tengah hari semuanya akan habis termasuk minyak masak dan beras,” katanya.

Menurut Mohd Bukhari barang-barang yang dijual menjadi pilihan pengguna kerana harganya jauh lebih murah dari pasaran.

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan JER yang dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut menawarkan harga makanan asas pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Jualan itu merangkumi enam jenis barangan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak.


Pengarang :