Penerima bersama surat hak milik yang diterima bergambar selepas program penyerahan simbolik hak milik strata rumah pangsapuri kos rendah di Balai Masyarakat PJS 7/15, Subang Jaya pada 16 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kemelut hak milik strata 420 keluarga pangsapuri PJS 7/15 terlerai

SUBANG JAYA, 16 SEPT: Penantian panjang 420 keluarga di Pangsapuri PJS 7/15 di sini untuk mendapat hak milik strata terlerai apabila menerima surat pemilikan hari ini.

Kemelut pemilikan diselesaikan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze hasil sokongan Kerajaan Selangor, Sunway Property, Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri berkenaan.

Michelle Ng berkata pihaknya menerima aduan berhubung isu itu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) meskipun kebanyakan penduduk di 10 blok pangsapuri berkenaan selesai membayar pinjaman bank.

“Susulan itu, saya bertemu dengan pihak pemaju untuk memulakan proses (permohonan hak milik strata). Saya akui ia agak rumit berikutan pangsapuri ini terletak atas dua mukim iaitu Petaling dan Damansara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (tiga,kanan) bergambar bersama penerima ketika program penyerahan simbolik hak milik strata rumah pangsapuri kos rendah di Balai Masyarakat PJS 7/15, Subang Jaya pada 16 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Maka pengubahan sempadan mukim dan pencantuman kedua-dua hak milik perlu dilaksanakan terlebih dahulu ditambah pula pandemik Covid-19 yang menyebabkan proses sedikit tergendala,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan surat hak milik strata kepada tiga penerima sebagai simbolik di Balai Masyarakat, Bandar Sunway yang turut dihadiri Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen.

Dalam pada itu, Michelle berharap kehidupan penduduk di pangsapuri berkenaan lebih terjamin selain dapat melaksanakan urusan jual beli dan harta pusaka dengan mudah.

Beliau juga meminta pemaju perumahan di kawasan lain supaya bertanggungjawab terhadap pembangunan projek masing-masing bagi mengelak sengsara rakyat.

“Pemaju lain harus mencontohi usaha Sunway Property yang tidak lari daripada tanggungjawab. Sebenarnya memang banyak di kawasan ini proses (hak milik strata) tergendala.

“Ia berikutan pemaju secara sengaja memohon kepada mahkamah supaya membankrupkan syarikat mereka. Jadi saya harap perkara sebegini tidak berlaku lagi,” katanya.


Pengarang :