Orang ramai membeli barang keperluan asas yang djual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Ramal di pekarangan Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi, Kajang pada 16 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah negeri, belanja RM30 dapat ayam, telur dan beras

KAJANG, 16 SEPT: Suri rumah yang ditemui SelangorKini tidak menyangka dapat membeli pelbagai jenis barangan asas di bawah harga RM100  pada program Jualan Ehsan Rakyat di Kompleks PKNS, Bangi di sini, hari ini.

P Chandrakala, 55. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

P Chandrakala, 49, berkata dalam situasi segalanya mahal, masih terdapat pihak yang mampu menjual barangan asas yang jauh lebih murah berbanding harga semasa pasaran.

“Ini pertama kali saya datang program seperti ini, saya ingat murah biasa-biasa sahaja tetapi memang betul-betul murah.

“Saya hanya keluarkan RM30 untuk beli ayam, telur dengan beras. Biasanya kalau macam ini RM50 belum tentu boleh dapat,” katanya.

Wan Rahimas Wan Ali, 55. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bagi Wan Rahimas Wan Ali, 55, beliau berharap inisiatif jualan murah dikekalkan atau sekurang-kurangnya sebulan sekali bukannya secara bermusim demi meringankan beban rakyat.

“Saya beli beras, ayam, daging dan telur kemudian dapat baucar RM5 dengan hanya RM75 kalau di luar dah beratus ringgit.

“Bayangkan dengan harga macam ini dapat pelbagai barangan jadi memang kami berharap sangat jualan ini dapat diadakan setiap hari,” katanya.

Pelajar Monica Goh, 19 berkata pembelian ayam, telur, daging dan beras dengan harga yang murah dapat membantu dia dan adiknya bertahan dalam tempoh sebulan.

Monica Goh, 19. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya tinggal bersama adik selepas ibu meninggal dunia, program seperti ini sememangnya membantu golongan kurang berkemampuan seperti kami.

“Kami hanya tinggal dua beradik sahaja dan saya memang mengharapkan program ini kerap diadakan bagi membantu kami untuk berjimat cermat,” katanya.

Pada 30 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan Jelajah Ehsan Rakyat.

Jualan itu merangkumi enam jenis barangan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak.


Pengarang :