AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan, Permaisuri Selangor zahir takziah pemergian Francis McWilliams

SHAH ALAM, 2 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan takziah kepada keluarga mendiang Dato’ Sir Francis McWilliams yang meninggal dunia pada 31 Ogos lalu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan pemergian mendiang di United Kingdom pada usia 96 tahun.

Menurut Selangor Royal Office mendiang yang dilahirkan pada 1926, tiba dan menetap di Tanah Melayu pada 1953 bagi memulakan karier sebagai Pembantu Jurutera di Majlis Perbandaran Melaka.

Katanya, mendiang kemudian dilantik sebagai Jurutera Bandar di Petaling Jaya Development Corporation (PJDC) dan bertanggungjawab terhadap perancangan awal pembangunan kawasan Petaling Jaya pada tahun 1954.

“Mendiang bersara daripada PJDC sebagai Pengurus Besar pada 1964 dan terus menetap di Malaysia bersama keluarga.

“Di atas jasa dan baktinya dalam membangunkan Selangor, pada Mac 1973, Sultan Selangor ke-8, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mengurniakan darjah kebesaran Dato’ Diraja Selangor kepada mendiang,” katanya di Facebook.

Baginda berharap keluarga khususnya isteri mendiang, To’ Puan Lady Wyn McWilliams dan anak-anak mendiang, Douglas dan Michael tabah menghadapi kehilangan ini.

Sultan Selangor ke-8, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj  mengurniakan darjah kebesaran Dato’ Diraja Selangor kepada Dato’ Sir Francis McWilliams pada Mac 1973. Foto Selangor Royal Office

Pengarang :