Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Ramal yang menawarkan barangan asas segar dengan harga murah berbanding pasaran di perkarangan Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi, Kajang pada 16 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat mahu pasarkan sayur kebun komuniti di jualan murah PKPS

KAJANG, 16 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal berhasrat memasarkan sayur-sayuran hasil kebun komuniti di program Jualan Ehsan Rakyat (JER) pada masa depan.

Mazwan Johar berkata beliau akan memastikan sayuran pekebun kawasan itu bukan produk sama yang dijual Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada program berkenaan.

“Kita sedang mengumpul peniaga khususnya mereka yang mengusahakan kebun komuniti dan pastinya harga jualan mereka juga rendah dari pasaran.

“Kita pilih mereka kerana mahu mengelak ‘orang tengah’ jadi secara tidak langsung barangan yang dijual akan lebih murah,” katanya pada prorgam JER di Kompleks PKNS, Bangi di sini hari ini.

Pada program berkenaan Mazwan turut memberikan kupon RM5 kepada 100 pengunjung yang mana kos berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh beliau.

“Ini sebagai salah satu usaha meringankan beban dan menghargai mereka yang sanggup datang awal walaupun jualan bermula pada jam 9 pagi,” katanya.

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan JER yang dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut menawarkan harga makanan asas seperti ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.


Pengarang :