Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik penyerahan bendera ketika majlis pelancaran Jentera HARAPAN Kapar, Klang dan Kota Raja serta taklimat Ejen Tempat Mengundi di Dewan Serbaguna Taman Sentosa, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN Selangor yakin kekal kerusi Kapar, Klang dan Kota Raja

KLANG, 24 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kapar, Klang dan Kota Raja pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi dan kepercayaan bahawa ketiga-tiga kawasan tersebut merupakan kubu kuat gabungan itu.

Jelasnya, perbincangan kerusi mudah dan selesai pada Julai lalu iaitu siapa menang pada pilihan raya umum lalu kekal bertanding di situ.

“Contohnya Kota Raja dimenangi Parti Amanah Negara (AMANAH), ia kekal mewakili HARAPAN, di Klang pula DAP kekal ditandingi parti itu pada PRU15 dan Kapar Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), maka parti itu mewakilinya.

“Bagaimanapun tidak cukup dengan kenyataan (menang) semata-mata dan ia harus dibuktikan dengan gerak kerja jentera. Apabila jentera mula bergerak dan waktu mengundi kita dapat berita Kapar, Klang dan Kota Raja kekal di bawah HARAPAN,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Jentera HARAPAN Kapar, Klang dan Kota Raja serta taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi (Paca) di Dewan Serbaguna Taman Sentosa semalam.

Pada PRU14, Parlimen Kapar dimenangi Abdullah Sani dengan majoriti 16,306 undi, manakala Klang dimenangi Charles Santiago dengan majoriti 78,773 undi dan Mohamad Sabu menang di Kota Raja dengan undi 90,697.


Pengarang :