Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Selangor (SDEC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ajak rakyat hadir SIBS, pamer rancangan pembangunan lima tahun negeri

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Dato’ Menteri Besar mempelawa orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Pavilion Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata maklumat rancangan pembangunan lima tahun negeri yang bakal memanfaatkan rakyat Selangor boleh diperoleh sepanjang empat hari persidangan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

“Bagi memastikan negeri ini kekal berdaya tahan dan berada pada landasan kukuh, Selangor baru-baru ini melancarkan RS-1 yang menumpukan usaha menjadi sebuah negeri makmur serta pintar menjelang 2025.

“Rangka kerja RS-1 turut menumpukan pengukuhan ekonomi, meningkatkan keterangkuman sosial dan kesejahteraan, kemampanan serta tadbir urus berkesan. Jadi saya menjemput semua orang untuk teroka cara mendapat manfaat daripada pelan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan perasmian SIBS 2022 yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Hadir sama EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Amirudin menambah pelan itu turut mengenal pasti sembilan industri berimpak tinggi yang akan memacu dan memperkukuh pembangunan ekonomi di Selangor dalam tempoh lima tahun.

“Ia bermula dari pelabuhan dan logistik, ekonomi digital, aeroangkasa, elektrik dan elektronik, mekanikal dan kejuruteraan, halal, automotif, sains hayat, pelancongan serta agroteknologi,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu, sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan usul projek pembangunan RS-1 2021-2025 berjumlah RM212.44 bilion.

RS-1 menumpukan pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

Ia turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.


Pengarang :