Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat, kiri) bersama EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (lima, kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping (lima, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (tiga, kiri) memegang plakad ketika melancarkan Sekolah Digital Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sekolah Digital Selangor lahir pekerja mahir, penuhi keperluan industri

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Sekolah Digital Selangor (SDS) diwujudkan bagi memenuhi keperluan sektor digital yang semakin berkembang di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif dilaksana Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) juga bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut.

“Sekolah digital ini bukan sahaja mendapat kerjasama Kerajaan Negeri tetapi juga kerajaan pusat, pelabur swasta serta syarikat pemula melalui Penjana Capital, The Hive, EZT Group dan Perunding Pemasaran Digital (DMC).

“Usaha ini selaras aspirasi ke arah pendigitalan sekali gus menjadikan Selangor sebagai negeri pintar dan berdaya huni menjelang 2025,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pada November tahun lepas, Amirudin mengumumkan penubuhan SDS sebagai platform pembelajaran digital dan teknologi bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Kemudian pada Mac tahun ini, Sidec memaklumkan seramai 200 individu bakal menjadi kumpulan pelajar pertama SDS yang memulakan pengajian pada Ogos.

Jumlah pengambilan itu kekal untuk tempoh tiga tahun sebelum diperluas kepada 400 pelajar. SDS menawarkan kursus jangka pendek selama tiga bulan, diploma dan ijazah sarjana muda.


Pengarang :