KLANG, 23 OKT: Dato’ Menteri Besar menegaskan program bantuan Kerajaan Negeri bukan bersifat populis dan ingin mengambil hati rakyat semata-semata.
Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap inisiatif yang dilakukan adalah untuk memperkasa dan memberdayakan rakyat.
“Kita mula mentadbir Selangor pada 2008 dengan hanya tujuh program sebelum ditambah baik kepada 43 program tahun berikutnya. Program yang membantu rakyat bukan hanya bersifat populis dan ingin ambil hati tetapi mencapai sasaran ditetapkan.
“Contohnya Peduli Sihat kita adakan supaya rakyat tahu status kesihatan mereka dan dapat melakukan saringan kesihatan, perumahan dan hadiah perkahwinan.
“Semua ini dilaksana di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang nilainya ditambah baik dan sumbangan diberikan juga meningkatkan kehidupan sosioekonomi dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman di sini, hari ini.
ISP disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menerusi peruntukan RM600 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.
ISP menggariskan enam insiatif iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor, Iltizam Kesihatan Selangor, Iltizam Pendidikan Selangor, Iltizam Perumahan Selangor, Iltizam Keusahawanan Selangor dan Iltizam Mesra Anak Selangor.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar melancarkan Skim Insurans Am Selangor (INSAN), skim insurans percuma yang memberi perlindungan kepada enam juta rakyat dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.