Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari melawat ke reruia pameran ketika Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri sedia pelbagai program perkasa pendidikan rakyat, bantu graduan dapat kerja

KLANG, 23 OKT: Kerajaan Negeri sentiasa mengutama dan memperkasa pendidikan rakyat terutama membabitkan golongan kurang berkemampuan.

Dato’ Menteri Besar berkata golongan berkenaan dibantu mendapatkan pendidikan tambahan melalui pelaksanaan tuisyen percuma, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

“Dahulu penerima paling ramai 6,000 individu dengan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kira-kira 100 orang dengan hanya melibatkan tingkatan empat dan lima.

“Namun, kini kita tambah kelas darjah enam dan secara keseluruhan lebih 20,000 pelajar ditaja Kerajaan Negeri terutama golongan miskin dan tidak dapat tuisyen tambahan.

“Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut membiayai pelajar ini dengan makan tengah hari supaya tidak lapar serta mengeluarkan belanja tambahan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI

Berucap merasmikan Jelajah Selangor Penyayang daerah Klang hari ini, beliau berkata Kerajaan Negeri juga menyediakan inisiatif bagi memastikan graduan tidak menganggur.

Katanya, usaha ini diambil menerusi kerjasama MBI dengan syarikat GE Engine Services dalam industri aeroangkasa bagi memudahkan graduan menerima latihan sekali gus mendapat pekerjaan.

“Bukan itu sahaja, bagi latihan vokasional juga menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) kita kerjasama dengan beberapa pemain utama seperti Siemens dan Apple,” katanya.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November tahun lalu, mengumumkan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk meneruskan PTRS tahun ini.

Peruntukan itu antaranya bagi memantapkan pengisian portal ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari melawat ke reruia pameran ketika Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :