Calon Pakatan Harapan Parlimen Ampang Rodziah Ismail ketika sesi dialog bersama orang lama berkenaan sejarah Ampang di Kafe Ampang pada 12 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rodziah tekad tangani isu kos sara hidup, sedia lebih banyak peluang kerja buat warga Ampang

AMPANG, 13 NOV: Rodziah Ismail tekad tekad menangani isu kos sara hidup di Parlimen Ampang dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada anak muda.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata usaha berkenaan akan dilaksana selari dengan manifesto gabungan berkenaan.

“Saya nampak di Ampang persoalan sara hidup begitu membimbangkan. Ada tempat okay tetapi ada tempat yang perlu diberi tumpuan.

“Insya-Allah saya akan tengok bagaimana boleh bantu sediakan lebih banyak pekerjaan dan akan perbetul perkara yang mungkin selama ini peluang tidak diberikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan sesi dialog bersama orang lama berkenaan sejarah Ampang di Kafe Ampang di sini, semalam.

Sebelum ini, Rodziah memaklumkan sembilan visi besar akan direalisasikan buat warga Ampang jika mendapat mandat rakyat pada pilihan raya kali ini.

Matlamat itu meliputi pembangunan manusiawi dan melestari alam sekitar, kegiatan sosial, perniagaan dan pekerjaan tersusun dan seimbang selain memperkasa usahawan sebagai komponen utama mempromosi bandar itu

Tawaran lain seperti berikut:

  • fasiliti awam yang mudah diakses, selamat, mesra keluarga dan lestari
  • unik gabungan warna warni kaum, budaya dan sejarah
  • latihan kemahiran profesional untuk anak muda, wanita dan OKU
  • potensi pendapatan isi rumah dipertingkatkan
  • kebajikan menyeluruh

Rodziah berdepan bekas menteri dan juga penyandang kerusi itu Datuk Zuraida Kamarudin yang mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam saingan sembilan penjuru.


Pengarang :