SHAH ALAM, 10 DIS: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menawarkan jualan kombo yang memberi penjimatan sehingga 50 peratus di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022, sehingga esok.
Pengurus Jualan dan Pemasaran IBDE, Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata jualan tiga kombo itu membabitkan Kombo Sipena, Kombo Al Ghazali dan Kombo Lincoln.
“Kami sering menerima permintaan pengunjung yang mahu potongan harga jika membeli buku-buku terbabit. Jadi IBDE mendapat idea untuk menawarkan kombo yang bermula Rabu lalu sehingga esok.
“Pembeli akan mendapat penjimatan sehingga 50 peratus bagi Kombo Sipena, penjimatan 30 peratus bagi Kombo Lincoln dan 20 peratus bagi Kombo Al Ghazali,” katanya kepada SelangorKini.
Kombo Sipena mengandungi naskhah Sipena II, Sipena III dan Sipena IV manakala Kombo Lincoln menawarkan tiga naskhah mengenai Abraham Lincoln iaitu Tahun-Tahun di Prairie Abraham Lincoln; Tahun-Tahun Perang Abraham Lincoln dan Abraham Lincoln: Tahun-Tahun Akhir Perang.
Kombo Al Ghazali pula menawarkan semua karya terjemahan ilmuwan Islam tersebut iaitu Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik; Penyelamat Daripada Kesesatan, dan Ilmu Kalam: Tegahan Buat Orang Awam.
Ainunl Muaiyanah berkata pihaknya menyediakan sehelai t-shirt eksklusif IBDE secara percuma bernilai RM45 untuk pembelian melebihi RM300 ke atas.
“Pembeli itu juga boleh memilih untuk memiliki t-shirt berlengan pendek atau berlengan panjang. Ia diberikan secara percuma selagi stok masih ada,” katanya.
SIBF 2022 yang dianjurkan bermula 1 Disember lalu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan berakhir esok.