Oleh AZIAN AZIZ
HULU SELANGOR, 14 JAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) diminta sentiasa memantau cerun di laluan B66 Jalan Batang Kali- Genting Highlands di sini bagi mengelak kejadian runtuhan berulang.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifudin Shafi Muhammad menegaskan walaupun kerja-kerja membaik pulih cerun di lokasi tragedi tanah runtuh pada 16 Disember lalu sedang berjalan namun risiko untuk berlaku runtuhan tetap ada.
“Sekarang laluan tersebut sudah dibuka kepada kenderaan jadi pemantauan lebih kerap perlu dilakukan sebagai langkah pencegahan bagi mengelak runtuhan berlaku,’’ katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/01/PSX_20230113_232447-500x333.jpg)
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian penghargaan kepada 10 agensi penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali di Wisma Antara Gapi, di sini malam tadi.
Tragedi tersebut mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 mangsa terselamat.
Dalam pada itu, Saifudin Shafi juga meminta pihak berkuasa tempatan untuk melihat semula garis panduan perniagaan perkhemahan di semua kawasan berisiko bagi mengelak tragedi sama berulang.
Pada 6 Januari lalu, laluan Batang Kali- Genting Highlands di Hulu Selangor dibuka semula kepada kenderaan dengan kawalan pihak berkuasa.