Wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki meninjau dan mengedarkan sampul angpau dan limau mandarin kepada peniaga dan pengunjung pasar pagi Taman Megah, Balakong. Foto Facebook Wong Siew Ki
ADNSELANGOR

Naik taraf pasar pagi Taman Megah utama keselesaan peniaga, penduduk

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 14 JAN: Pelan cadangan naik taraf kemudahan pasar pagi Taman Megah akan dikemukakan di bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) tahun ini.

Wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki berkata perkara yang akan diberi perhatian dalam cadangan naik taraf itu termasuk membina bumbung dan menurap jalan berlubang di sekitar pasar.

“Saya akan kemukakan cadangan projek naik taraf pasar pagi tahun ini di bawah projek PSP. Selain projek membina bumbung, masalah tapak dan jalan berlubang juga akan diberi perhatian,” katanya.

Siew Ki turut meluahkan masalah tersebut kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan mendapat maklum balas yang positif.

“Ahli Parlimen juga telah mengambil maklum dan kita berharap kerjasama positif semua pihak termasuk ahli majlis, pasar tersebut akan dapat dinaik taraf untuk keselesaan penduduk,” katanya lagi.

Terdahulu, Siew Ki dan Syahredzan bersama ahli-ahli Majlis, Suzanah Hanim Wong dan Khoo Kim Han serta wakil DAP cawangan Taman Megah mengedarkan sampul angpau dan limau mandarin kepada peniaga dan pengunjung pasar pagi Taman Megah.


Pengarang :