SHAH ALAM, 11 JAN : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Bank Muamalat hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang membuka peluang kepada lebih ramai untuk memiliki kediaman.
Ketua pegawai eksekutif PKNS berkata Bank Muamalat menawarkan pembiayaan akhir kepada pelanggan PKNS melibatkan projek perumahan pelbagai kategori termasuk rumah mampu milik.
“Sememangnya menjadi hasrat PKNS untuk meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutamanya golongan belia dan pembeli rumah pertama,” kata Dato’ Mahmud Abbas selepas majlis menandatangani MoU berkenaan.
Majlis yang berlangsung di Restoran SACC Kelana Seafood di sini turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin.
Beliau berkata agensi perbankan berkenaan turut menawarkan khidmat nasihat pembiayaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah Pertamaku (SP) dengan kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad dan Cagamas Berhad.
“Manakala, bagi segmen perniagaan akan disediakan khidmat nasihat dan kemudahan fasiliti untuk industri kecil dan sederhana (IKS) yang melibatkan vendor dan rakan niaga,” katanya.
Sementara itu, Khairul berkata pihaknya sedia memberi penyelesaian dan kemudahan kewangan kepada entiti perniagaan dan individu terutamanya pembeli rumah pertama.
“Pihak bank memahami masalah yang dihadapi oleh pelanggan ditambah dengan keadaan ekonomi semasa yang agak mencabar terutama bagi pembeli rumah pertama.
“Oleh itu, pihak bank sedia memberi penyelesaian dan menyediakan kemudahan kewangan kepada individu dan entiti perniagaan,” katanya.