EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han mengadakan perjumpaan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kementerian Kesihatan Malaysia serta pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan untuk merangka sistem terbaik bagi menyelesaikan isu anjing liar pada 17 Januari 2023. Foto Facebook Ng Sze Han
EXCOSELANGOR

Selangor rangka sistem terbaik selesaikan isu anjing liar tanpa ada unsur penganiayaan

SHAH ALAM, 18 JAN: Kerajaan Negeri sedang merangka sistem terbaik bagi menyelesaikan isu anjing liar tanpa sebarang unsur penganiayaan, kata EXCO Kerajaan Tempatan.

Ng Sze Han berkata cadangan tersebut dibuat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Veterinar negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan ia dapat ditangani dengan berkesan.

“Satu sistem yang lebih ampuh akan dirangka bersama PBT, Veterinar dan NGO untuk memastikan isu anjing liar dapat ditangani dengan lebih berkesan tanpa wujud unsur penganiayaan terhadap haiwan tersebut,” katanya di Facebook.

Sze Han menjelaskan beliau telah mendengar taklimat mengenai cabaran pengurusan Pusat Kurungan Haiwan dalam mesyuarat bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han mengadakan perjumpaan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kementerian Kesihatan Malaysia serta pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan untuk merangka sistem terbaik bagi menyelesaikan isu anjing liar pada 17 Januari 2023. Foto Facebook Ng Sze Han

Menurutnya mesyuarat bersetuju supaya tatacara operasi piawai (SOP) semua pusat kurungan haiwan diperkemaskan agar berada dalam keadaan bersih dan baik serta menjamin kebajikan haiwan kurungan.

“Sejak beberapa tahun lalu, Kerajaan Negeri melalui PBT telah menganjurkan program pengangkatan/adopsi haiwan terbiar yang telah mendapat sambutan masyarakat.

“Inisiatif seperti ini akan sentiasa diteruskan dan dipergiatkan. Kerajaan Negeri menggalakkan persatuan serta individu untuk meneruskan program seperti ini,” katanya.

Minggu lalu Sze Han mengarahkan semua PBT negeri ini untuk menyemak dan mengemas kini SOP pusat kurungan haiwan bawah pentadbiran masing-masing.

Ia susulan keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang berdukacita terhadap keadaan haiwan di pusat kurungan yang tular baru-baru ini.


Pengarang :