Kakitangan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menjalankan kerja menurap jalan di Jalan Resak, Kanchong Tengah pada 16 Januari 2023. Foto Twitter INFRASEL
AGENSISELANGOR

Infrasel baiki jalan di Kanchong selepas 24 jam terima aduan

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 18 JAN: Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) bertindak pantas membaiki laluan di Jalan Resak, Kanchong dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan orang ramai.

Syarikat penyelenggara jalan negeri itu menyelesaikan kerja menurap jalan raya di daerah Kuala Langat berpandukan aduan di Twitter dengan #infrasel berhubung perkara berkaitan pada Isnin lalu.

“Infrasel telah melaksanakan kerja penurapan jalan raya di kawasan tersebut pada pada hari yang sama selepas menerima aduan.

“Teruskan membuat aduan dengan memuat naik ciapan menggunakan #infrasel #namajalan #daerah berlakunya kerosakan jalan,” kata agensi itu di Twitter.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi projek penurapan jalan melibatkan penyelenggaraan serta pelebaran jalan di bawah kelolaan negeri.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim memaklumkan kerja penurapan jalan besar-besaran di seluruh negeri akan dilaksanakan mulai Mac depan demi keselesaan pengguna.

Menurutnya, projek dengan kos RM50 juta menerusi Belanjawan Selangor 2023 membabitkan semua jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sebelum ini, Amirudin menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi Twitter.

Beliau memaklumkan proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudahkan dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.


Pengarang :