Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat pusat jagaan dan perlindungan kucing terbiar Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA Selangor) pada 29 Oktober 2022. FOTO SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tengku Permaisuri titah semak SOP di pusat kurungan, elak haiwan terbiar tidak terurus

SHAH ALAM, 12 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor bertitah pihak berkuasa khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) menyemak semula tatacara operasi piawai (SOP) di pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.

Titah Tengku Permaisuri Norashikin, pihak berwajib diminta meneliti semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan pusat kurungan haiwan terbiar ini.

“Menyedari bahawa anjing terbiar yang ditempatkan di pusat-pusat ini kebanyakannya tidak terurus dan kurang nutrisi, Baginda mahu agar SOP harian yang sedang diguna pakai disemak semula.

“Ini kerana jika SOP semasa ini terbukti berkesan, tidak sepatutnya tular video yang menunjukkan anjing berkenaan seolah-olah teraniaya, terabai dan tidak terurus,” menurut Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Pada masa sama Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan kecewa susulan tularnya gambar dan video anjing terbiar yang terabai di sebuah pusat kurungan anjing di negeri itu.

Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja program Stray Free Selangor (SFS) turut memberi beberapa cadangan agar usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan terbiar dipergiat.

Baginda bertitah antara cadangan ialah memperkasa semula kerjasama antara PBT dan penduduk taman perumahan terlibat.

“PBT dengan kerjasama Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) boleh mengendalikan sesi tangggungjawab haiwan pemilikan bersama penduduk serta menyediakan jadual lawatan berkala oleh SPCA dan NGO ke pusat kurungan haiwan terbiar.

“Menempatkan pegawai kebajikan haiwan bersama pencinta-pencinta haiwan di setiap zon daerah, seterusnya melatih mereka untuk menggalakkan pengkasian (neuter) haiwan terbiar di bawah kempen SFS.

“Mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan NGO sekiranya pendekatan untuk melupuskan haiwan terbiar ini terpaksa dilakukan,” titah Baginda.

Baginda juga berharap usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja.

“Baginda juga mahu setiap ahli masyarakat menggalas peranan yang lebih terperinci khususnya dalam memupuk perasaan sayangkan haiwan dan prihatin dengan keadaan sekeliling,” titahnya.


Pengarang :