Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor menziarahi seorang ibu menghidap barah limfoma. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Zakat Selangor bantu biaya kos perubatan ibu diuji barah limfoma tahap empat

SHAH ALAM, 3 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni seorang ibu yang disahkan menghidap barah limfoma selepas melahirkan anak sulungnya, baru-baru ini.

Zakat Selangor memaklumkan wanita tersebut dimaklumkan menghidap barah limfoma tahap empat selepas kelahiran anak sulungnya yang ditunggu-tunggu selama tiga tahun.

“Beliau disahkan menghidap barah limfoma tahap empat dan kini telah merebak ke tulang belakangnya.

“Sekelip mata sahaja semuanya berubah. Majikan tempatnya bekerja juga mengambil tindakan memaksanya berhenti kerja,” katanya di Facebook.

Susulan itu, Zakat Selangor membantu melunaskan tunggakan bil hospital serta kos perubatan lain dan peralatan yang disyorkan oleh pakar perubatan.

Agensi itu turut memberikan khidmat nasihat serta motivasi untuk menaikkan kembali semangat wanita berkenaan agar terus kuat melawan barah.

“Pesakit sepertinya sangat memerlukan rawatan pemulihan bukan sekadar rawatan perubatan. Jiwanya serta motivasi diri perlu dipertingkatkan daripada sokongan padu keluarga dan rakan-rakan,” katanya.


Pengarang :