Ketua Pegawai Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Idris Ishak (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Bekal Ramadan Kasih PKNS di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 26 Mac 2023. Hadir sama Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal dan Anak Yatim (Bonda) Dato’ Ismail Che Abdullah (tiga, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ibu tunggal, asnaf syukur terima sumbangan PKNS, jimat belanja dapur

SHAH ALAM, 26 MAC: Seorang ibu tunggal bersyukur apabila menerima bantuan bekal makanan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana membantunya dalam penjimatan kos pembelian barang dapur.

Penerima bantuan Ropiah Ela. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ropiah Ela, 41, berkata bekerja sebagai pengasuh kepada tiga kanak-kanak demi menyara empat anaknya yang masih bersekolah bukanlah perkara mudah.

“Apabila dimaklumkan menerima bantuan bekal makanan berbentuk keperluan harian, saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kerana dapat jimat belanja dapur.

“Bantuan ini meringankan beban kami sekeluarga dan masih ada lagi yang prihatin dengan golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, penghantar makanan, Mohd Supian Zulkifli, 39, pula menyifatkan bantuan bekal makanan itu adalah rezeki untuk keluarganya di bulan yang mulia.

Penerima bantuan Mohd Supian Zulkifli. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Isteri tidak bekerja dan sebagai ketua keluarga saya bertanggungjawab memastikan setiap keperluan mencukupi terutama ketika puasa.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak bantuan ini membantu kerana telah banyak berbelanja untuk sesi persekolahan dan akan datang Aidilfitri,” katanya.

Terdahulu, seramai 50 penerima terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan orang-orang tua menerima bekal makanan dianggarkan bernilai RM150 yang diserahkan Ketua Pegawai Korporat PKNS Idris Ishak.

Berlangsung di ibu pejabat PKNS, sumbangan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan di bawah program Ramadan Kasih PKNS.

Kelmarin, PKNS menyerahkan bakul makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Seramai 30 kakitangan PKNS turun padang untuk menyantuni dan menyerahkan sumbangan raga makanan kepada warga gelandangan sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Ketua Pegawai Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Idris Ishak (duduk, tengah) bergambar bersama penerima sumbangan pada Program Bekal Ramadan Kasih PKNS di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 26 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :