Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan pada Majlis Iftar Perdana Dato’ Menteri Besar Selangor bersama komuniti barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pada 26 Mac 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pejabat MB hulur sumbangan kepada pasukan keselamatan, hargai khidmat bakti

SHAH ALAM, 26 MAC: Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor menyumbang sejumlah RM50,000 kepada pasukan keselamatan dan beruniform di negeri ini.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan pada Program Iftar Perdana Dato’ Menteri Besar bersama barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Setiap lima agensi menerima sumbangan berjumlah RM10,000 bagi mengenang jasa, keprihatinan, pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan mereka untuk kesejahteraan negara dan negeri khasnya.

Agensi tersebut adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), anggota 11 Briged, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Turut disampaikan pada majlis itu adalah sumbangan barangan keperluan kepada ibu tunggal, golongan asnaf dan anak istimewa.

Pasukan keselamatan pelbagai agensi menghadiri Majlis Iftar Perdana Dato’ Menteri Besar Selangor bersama komuniti barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pada 26 Mac 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, balu kepada anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM berkata sumbangan itu dapat membantu keperluan bulanan beliau sekeluarga.

“Ia juga saya anggap sebagai salah satu tanda penghargaan kepada arwah suami sepanjang beliau berkhidmat dengan PDRM.

“Suami meninggal dunia dua tahun lalu dan selepas itu saya menyara tiga anak yang masih bersekolah seorang diri jadi bantuan ini sangat saya hargai,” kata Rafidah Mohd Radzi.

Koperal Husny Abu Hassan, 59, berkata bantuan yang diterima meringankan beban beliau sekeluarga dan ia tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap khidmat bakti anggota pasukan keselamatan.


Pengarang :