Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa-mangsa banjir di Segamat, Johor, 5 Mac 2023. Foto SADIQ ASYRAF/PEJABAT PERDANA MENTERI
AGENDANASIONAL

PM: Tidak perlu darurat bencana di Johor, hujan semakin berkurangan

SEGAMAT, 5 MAC: Kerajaan hari ini mengekalkan keputusannya untuk tidak mengumumkan darurat bencana di Johor, susulan jangkaan cuaca yang dilihat semakin baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan kerajaan tidak umumkan darurat kerana jangkaan hujan sudah mula berkurangan dan di beberapa tempat (banjir) dah surut, walaupun ada beberapa tempat yang ada (banjir) termenung ni, tetapi tidak perlu (umum) darurat (bencana) setakat ni.

“Dan keadaan mulai surut, mulai hari ini. Itu yang dimaklumkan kepada saya,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah, di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya status terkini banjir di Johor dan sama ada terdapat keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana, berikutan jumlah mangsa banjir yang dilihat semakin meningkat.

Dua hari lepas (Jumaat), mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat bencana di negeri ini susulan banjir.

Bagaimanapun, banjir yang luar biasa di negeri itu telah menyaksikan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 46,742 orang setakat 12 tengah hari tadi, dengan Batu Pahat menjadi daerah teruk terjejas banjir melibatkan seramai 15,915 orang.

Ahli Parlimen Tambun itu turut mengarahkan agar semua jabatan kerajaan menyegerakan penilaian kerosakan, serta membantu rakyat yang terjejas kerana kehilangan harta benda serta mengalami kerosakan dan terputus bekalan elektrik dan air.

“Semua ini (penilaian dan pemantauan), semua jabatan saya minta disegerakan. Jangan tunggu lagi. Sebaik air surut, rumah-rumah harus berfungsi,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri Selangor serta jabatan berkaitan di Wilayah Persekutuan akan menghantar kereta dan lori sampah, untuk pasca banjir.

Selain itu, usaha daripada mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) akan diselaraskan, untuk turun membantu keluarga yang terjejas bagi membersihkan rumah-rumah.

“…apa yg penting selepas ini, apabila (mangsa banjir) pulang ke rumah, usaha (telah dilakukan kita) untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah mereka (pascabanjir),” kata beliau.

Perdana Menteri turut memuji Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kerajaan negeri, atas penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam menyalurkan bantuan dan membantu mangsa banjir.

“Jabatan-jabatan kerajaan, baik keselamatan, polis, tentera, semuanya dikerahkan, kerajaan negeri pun turun. Jabatan bomba, semua, saya nak sebut satu-satu banyak tapi telah diselaraskan juga oleh NADMA dalam menjalankan tugas. Jadi saya, Alhamdulillah, bangga,” katanya.

Anwar turut merasa terharu dengan kekuatan dan semangat yang ditunjukkan rakyat Malaysia dalam menghadapi musibah di negeri itu.

“Orang ramai, NGO, banyak membantu. Ada di beberapa tempat, makanan yang diterima sampai berlebihan, ia sekali gus menunjukkan kekuatan semangat rakyat Malaysia, semua kaum (bekerjasama) dalam menghadapi ujian termasuk banjir,” kata beliau.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Besar Johor dan Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat.

– BERNAMA


Pengarang :