Noraihan Ahmad bersyukur atas Anugerah Guru 2022 pada Majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Kali Ke-21 Sesi 2022 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 11 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tokoh guru al-Quran azam tambah ilmu, didik lebih ramai dalami kitab suci

SHAH ALAM, 12 MAC: Tokoh Guru 2022 Akademi Literasi al-Quran Selangor berazam untuk terus menabur bakti mendidik lebih ramai masyarakat Islam mendalami ilmu al-Quran.

Bersyukur atas anugerah diterimanya, Noraihan Ahmad, 51, bertekad menambah ilmu dalam bidang berkenaan agar menjadi guru yang lebih bertanggungjawab sekali gus melahirkan lebih ramai anak murid yang celik al-Quran.

“Alhamdulillah, syukur kerana terpilih terima anugerah pada hari ini, mudah-mudahan menjadikan saya guru yang lebih bertanggungjawab dan sentiasa menuntut ilmu,” katanya.

Bekas penuntut Institut Ilmu al-Quran Jakarta Selatan, Indonesia itu ditemui selepas Majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil Kali ke-21 di Hotel Concorde di sini, semalam.

Majlis yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meraikan 154 pelajar Akademi Literasi Al-Quran yang tamat pengajian bagi sesi 2022.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Anugerah Guru 2022 kepada Noraihan Ahmad pada Majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Kali Ke-21 Sesi 2022 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 11 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Noraihan berkata sikap tidak putus asa dan ikhlas menjadi penguat diri biarpun berdepan dengan banyak cabaran ketika mengajar kitab suci itu.

“Rata-rata pelajar bersemangat mahu mempelajari al-Quran malahan ada juga yang datang bertongkat, ini menunjukkan mereka minat. Ini membuatkan saya berkobar-kobar untuk mengajar.

“Saya berharap mereka yang terima sijil hari ini dapat menyebar luaskan ilmu al-Quran kepada masyarakat luar dan ajarlah mereka dengan seikhlas hati,” kata ibu lima cahaya mata itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil Kali ke-21 bagi sesi 2022 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 11 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Noraihan merupakan mantan pelajar jurusan Sanad Talaqqi al-Quran daripada Syeikh Hasan Rejab di Syubra Mesir pada 2008 dan turut memiliki Diploma Pendidikan di Universiti Islam Selangor pada 2010.

Beliau pernah bertugas sebagai guru Kafa di Sekolah Rendah Agama Kampung Jawa, Klang pada 2007 hingga 2010 dan bertugas di Sekolah Rendah Agama Integrasi Dato’ Mufti Yusof Sahabuddin (2010-2012).


Pengarang :