Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sekitar daerah Petaling di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya pada 15 April 2023. Foto Ihsan Yayasan Islam Darul Ehsan
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda berkenan serah sumbangan Yide kepada 585 anak yatim

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 15 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan sumbangan kepada 585 anak yatim di Masjid Kota Damansara di sini, hari ini.

Menerusi sumbangan Aidilfitri daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide), kesemua anak yatim sekitar daerah Petaling menerima RM150 setiap seorang.

Dalam majlis sama, Tengku Amir Shah turut berkenan menerima sumbangan untuk pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Yide berjumlah RM205,000, dana pusat dialisis (RM400,000) dan perbelanjaan anak yatim (RM20,000).

Baginda juga menyerahkan sijil penghargaan kepada Ketua Sahabat Prihatin Yide (KSPY) daerah Petaling, Gombak dan Hulu Selangor.

KSPY adalah wakil Yide di lapangan dalam membantu melaksanakan kutipan Kupon Infak Yatim Yide dan menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan anak-anak yatim dan kejadian bencana.

Sementara itu, Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor berkata jumlah keseluruhan anak yatim daerah Petaling yang sepatutnya menerima sumbangan tersebut adalah 1,636 orang membabitkan peruntukan keseluruhan RM245,400.

Menurut beliau sumbangan untuk 1,051 anak yatim yang tidak hadir akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.

“Diharap anak-anak yatim yang kita raikan terus diberi rezeki yang melimpah bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi juga di bulan yang lain.

“Menjunjung kasih di atas keprihatinan DYTM Raja Muda Selangor yang tidak pernah jemu mencemar duli untuk bertemu anak-anak yatim,” katanya.

Tambah Mazlan, jumlah keseluruhan anak yatim yang  menerima sumbangan Aidilfitri daripada Yide pada Ramadan ini adalah 9,081 orang dengan nilai RM1.4 juta.


Pengarang :