ADN Kinrara Ng Sze Han beramah mesra bersama pengunjung pada Program jamuan Aidilfitri BK komuniti bersama JKP MBSJ Zon 18 dan pejabat DUN Kinrara di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Kinrara Puchong pada 21 Mei 2021. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Kinrara: Bakal jemaah haji dipelawa mohon insentif RM500

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 19 MEI: Bakal jemaah haji di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara dipelawa memohon bantuan bernilai RM500, kata wakil rakyatnya.

Ng Sze Han berkata insentif Haji Muassasah khusus kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) boleh dipohon di pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri Kinrara.

“Permohonan ini sudah dibuka dan sekarang pejabat saya sedang kumpul permohonan. Jadi mereka yang layak boleh datang untuk memohon.

“Ia sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang menunaikan haji” katanya yang juga  EXCO kerajaan tempatan pada majlis rumah terbuka anjuran komuniti Bandar Kinrara bersama Pusat Khidmat DUN Kinrara dan MPP Zon 18 MBSJ di Dewan MBSJ BK5, Bandar Kinrara Puchong hari ini.

Selangor menawarkan insentif RM500 buat 3,000 bakal jemaah haji muassasah yang memerlukan tahun ini, khasnya kumpulan B40 dan M40.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut mengagihkan kit syifa seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir.

Antara syarat permohonan ialah warganegara Malaysia yang beralamat di Selangor atau telah mendaftar haji di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji di Selangor.

Pemohon yang beralamat di luar Selangor (kad pengenalan) tetapi menetap di Selangor masih boleh memohon insentif ini dengan syarat mengemukakan dokumen sokongan seperti bil air, api atau cukai pintu yang tertera nama pemohon.

Pemohon juga perlu mendapat pengesahan penawaran menunaikan haji muassasah tahun ini dari Lembaga Tabung Haji negeri Selangor.

Orang ramai yang hadir ketika Program jamuan Aidilfitri BK komuniti bersama JKP MBSJ Zon 18 dan pejabat DUN Kinrara di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Kinrara Puchong pada 21 Mei 2021. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

 


Pengarang :