Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual dengan harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Ar-Raudhah, Kampung Sungai Kembong, Klang pada 11 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan dapur dinanti ramai, harap diterus sepanjang tahun

KLANG, 11 MEI: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) kini menjadi program yang dinanti kerana penduduk setempat berpeluang membeli pelbagai barangan keperluan harian pada harga murah.

Operator kilang, Nurul Nafisyah Jasni, 21, berkata beliau sudah lebih enam kali hadir ke program tersebut dan tidak akan melepaskan peluang jika diadakan di kawasan sekitar tempat tinggalnya.

Nurul Nafisyah Jasni. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya akan pergi ke lokasi jualan setiap kali dianjurkan jika berkelapangan. Lokasi paling jauh yang pernah pergi ialah di Pandamaran dan saya datang bersama ibu.

“Saya banyak belanja dalam Ramadan dan Syawal. Apabila ada jualan murah ayam, ikan dapat jimat belanja sikit. Saya harap Kerajaan Negeri teruskan inisiatif ini sepanjang tahun ,” katanya ditemui pada JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang hari ini.

Sementara itu, jururawat Intan Nurizni Abd Rahman, 31, berkata ini merupakan kali pertama beliau hadir ke program jualan Kerajaan Negeri.

“Saya memang tidak tahu ada program seperti ini. Apabila ada program seperti ini, saya ajak suami untuk pergi ke jualan dan ternyata amat murah dan berbaloi.

“Selepas ini jika berkelapangan sudah pasti saya akan datang lagi kerana ia bantu kurangkan kos pembelian keperluan harian,” katanya.

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual dengan harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Ar-Raudhah, Kampung Sungai Kembong, Klang pada 11 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :