Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Perkukuh usaha terjemah karya besar Islam, pedoman kehidupan umat

SHAH ALAM, 20 MEI: Penganjuran Festival Turath Islami Selangor antara usaha Kerajaan Negeri memberdayakan ilmu dengan menterjemah karya besar ilmuwan Islam.

Dato’ Menteri Besar berkata penterjemahan karya Imam al-Ghazali atau tokoh besar Islam lain penting untuk rujukan umat selain diseimbangkan dengan persoalan semasa serta masa depan.

“Sudah pasti pengukuhan iman, akhlak dan amalan harus menjadi akar penting kehidupan umat Islam ketika dunia berdepan dengan fitnah serta cabaran yang mungkin kita tidak pernah hadapi sebelum ini.

“Dengan mengembalikan kepada kitab-kitab daripada tokoh besar hujjatul Islam seperti Imam al-Ghazali merupakan satu rahmat dan pedoman kepada kehidupan selama ini.

“Saya percaya ia membantu kita untuk menjernihkan keadaan dan memulihkan situasi dunia yang berdepan dengan cabaran-cabaran ketika berada di pinggir atau akhir zaman,” katanya Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada majlis Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata penganjuran festival telaah karya Imam al-Ghazali adalah permulaan kepada usaha negeri ini untuk menyebarkan Islam dengan akhlak dan ilmu pengetahuan yang membawa kemakmuran.

“Kerajaan Negeri berbesar hati menganjurkan festival yang bukan sahaja mampu memberi pengetahuan secara peribadi kepada peserta tetapi mengukuhkan citra, rupa budi serta agama Islam.

“Ini yang cuba kita tanamkan dan Kerajaan Negeri berharap agar Selangor menjadi negeri rahmah dan adil serta membawa kemakmuran kepada semua,” katanya.

Terdahulu, lebih 1,000 peserta termasuk dari Indonesia menyertai majlis Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali sempena Festival Turath Islami Selangor.

Kupasan karya Ihya’ Ulumuddin itu dipimpin bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah dan diterjemah Ustaz Noorazam Bahador.

Festival kali pertama dianjurkan dalam bahasa Melayu merangkumi lapan acara termasuk Daurah Afkar Ihya Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya Ulumuddin dan interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan.

Festival bermula 20 hingga 25 Mei itu dipancar secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.

Orang ramai mendengar Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :