Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Festival Turath telaah kitab al-Ghazali, tampilkan tokoh ulama besar

SHAH ALAM, 12 MEI: Umat Islam berpeluang mengikuti majlis telaah kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali dalam Festival Turath Islami Selangor melibatkan tokoh ulama antarabangsa dan tempatan.

Bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah dan bekas Pengerusi Nahdhatul Ulama Dr KH Said Aqil Siradj antara ilmuwan utama dalam program anjuran Kerajaan Negeri antara 20 hingga 25 Mei.

Ulama terkenal Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni dari Pattani, Thailand memimpin acara talaqqi kitab itu sempena prapelancaran festival tersebut di Kediaman Dato’ Menteri Besar pada 1 Mei.

Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Pattani Baba Haji Ghazali Ahmad Al-Fathoni dan Profesor Madya Fakulti Undang-Undang Universiti Monash, Australia Dr Nadirsyah juga terlibat.

Tokoh tempatan pula Pemegang Kerusi al-Ghazali di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam (ISTAC) Universiti Islam Antrabangsa Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Lebih 200 orang menghadiri Talaqqi Kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali yang dipimpin oleh Tokoh Ulama dari Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni sempena Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Turut sama, Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah dan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty.

Lapan majlis itu, yang mengandungi beberapa sesi, ialah:

■ Daurah Afkar (20 hingga 21 Mei) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
■ Jamuan Mahabbah Ulama-Umara (21 Mei) di Hotel Concorde, Shah Alam
■ Seminar Penghayatan Ihya Ulmuddin (22 Mei) di Hotel Concorde, Shah Alam
■ Majlis Zikir Darul Ehsan (22 Mei) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
■ Sama’ Sifat Nabi (23 Mei) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
■ Munaqasyah Ilmiah (24 Mei) di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak
■ Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah (24 Mei) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
■ Muzakarah Ulama-Umara (25 Mei) di Hotel Concorde, Shah Alam

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin dijadual hadir dalam sebahagian program berkenaan.

Festival itu diadakan bersempena projek terjemahan 10 jilid kitab Ihya Ulumuddin yang dijayakan Kerajaan Selangor.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat menerusi www.turathislamiselangor.com.

Program utama dipancar secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.


Pengarang :