Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty ketika menyampaikan syarahan bertajuk Ihya’ dan budaya damai ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia antara negara amal tatasusila mulia, cintai keamanan

SHAH ALAM, 22 MEI: Malaysia antara negara yang mengamalkan fiqh al ta’ayush al silmi (kehidupan bersama dalam kedamaian) seperti yang dibicarakan dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata umat Islam di negara ini memiliki tatasusila mulia seperti menghormati hak kejiranan, tolong-menolong serta mencintai keamanan.

“Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, pandangan Imam al-Ghazali yang membicarakan tentang hak orang bukan Islam adalah beriringan dengan penjelasan al-Quran, sunnah serta sejarah Islam.

“Kejiranan perumahan di negara ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam menampilkan tatasusila mulia seperti yang dibicarakan dalam kitab Ihya’ Ulumuddin,” kata Datuk Dr Muhammad Nur Manuty.

Muhammad Mahmud Al Falah Muhamad Al Khairuddin, 9, dan abangnya Muhamad Ali Al Fateh, 13, membaca buku terjemahan Imam Al-Ghazali terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika membentangkan syarahan bertajuk Ihya’ dan Budaya Damai di Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde di sini hari ini.

Festival diadakan 20 hingga 25 Mei itu bersempena projek julung kali terjemahan Bahasa Melayu kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali oleh Kerajaan Selangor.

Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu memaklumkan Imam al-Ghazali amat prihatin terhadap timbangan dan sukatan yang sama rata sebagai manifestasi berlakunya keadilan.

Orang ramai mengikuti Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Jelasnya, ilmuwan Islam itu menyatakan adalah haram bagi seseorang Muslim melakukan urusan dengan rakyat menerusi cara yang tidak adil, pemerasan dan penipuan.

“Terdapat dua jenis penipuan. Pertama, penipuan dengan orang awam. Kedua, penipuan dengan kelompok khusus.

“Kerugian orang awam dapat dibuktikan dengan berlakunya sorokan barang makanan. Tujuannnya adalah untuk menunggu kenaikan harga barangan. Ia adalah pemerasan dan zalim,” katanya.

Selain Dr Muhammad Nur, seminar itu turut menampilkan Prof Emeritus Dr Osman Bakar, Tokoh Islam Indonesia Prof Dr Kiai Said Aqil Siradj serta tokoh ulama Patani, Thailand Baba Haji Ghazali Ahmad Fathoni.

Dr Muhammad Nur, 74 dilantik sebagai Pengerusi IKIM berkuat kuasa 8 Mei lalu berikutan kematian pengerusi sebelum ini, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan pada 23 Februari lalu.

Kakitangan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menunjukkan buku terjemahan Imam Al-Ghazali ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :