EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (depan tiga, kanan) bergambar bersama selepas lawatan ke Kampung Orang Asli Bukit Raja, Dengkil pada 8 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Dana lebih RM270,000 naik taraf kemudahan, jalan raya kampung Orang Asli

SEPANG, 8 JUN: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah  RM271,976 untuk menaik taraf kemudahan termasuk jalan raya di kampung Orang Asli sekitar Dengkil.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata peruntukan membaik pulih kemudahan tersebut antara pelbagai usaha yang dilaksanakan demi menjaga kebajikan serta membela Orang Asli di negeri ini.

“Hari ini kita rasmikan Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Baja, Dengkil, yang selesai dibaik pulih melibatkan kos RM84,000. Kita mahu memberi keselesaan, sebab itu kita menaik taraf kemudahan di penempatan Orang Asli.

“Sebelum ini, bumbung balai raya bocor dan dimasuki air jika hujan. Dengan pengubahsuaian, penduduk boleh jalankan pelbagai aktiviti seperti mesyuarat, perkahwinan dan sebagainya dengan lebih selesa.

“Balai raya ini bukan sahaja memanfaat Kampung Orang Asli Bukit Baja tetapi Kampung Orang Asli Air Tertentang dan Kampung Orang Asli Bukit Damar yang diduduki hampir 1,000 penduduk. Ini antara inisiatif membela masyarakat Orang Asli,” katanya selepas merasmikan balai raya itu hari ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (tiga, kanan) menyerahkan peralatan untuk kegunaan penduduk kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Baja, Jalil Anak Long (tengah) sempema lawatan di Kampung Orang Asli Bukit Raja, Dengkil pada 8 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.

Sementara itu, Tok Batin Jalil Long, 49, berkata mewakili penduduk beliau berasa gembira balai raya diubah suai demi keselesaan penduduk di kampung Orang Asli.

“Balai raya dulu sudah usang dan bocor bila hujan. Apabila melihat keadaan ini, sangat sedih tetapi penduduk tetap menggunakannya.

“Sekarang balai raya dah elok, banyak aktiviti boleh diadakan penduduk seperti mesyuarat dan pernikahan.Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang bukan sahaja baik pulih tetapi beri sumbangan khemah dan kerusi meja,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk Chang Anak Cibi, 60, berkata ketiadaan balai raya yang selesa menyukarkan penduduk untuk melakukan sebarang aktiviti.

“Saya berharap selepas ini dengan adanya balai raya dan kemudahan, penduduk dapat menjaganya dan ibu bapa memantau anak-anak supaya tidak melakukan vandalisme,” katanya.


Pengarang :