Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja baik pulih jalan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ di Persiaran Jubli Perak Shah Alam pada 2 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Infrasel baik pulih jalan Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22 Shah Alam

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 4 JUN:  Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja baik pulih jalan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ (buang lapisan turap rosak dan diganti lapisan turap baharu) di Persiaran Jubli Perak dan Jalan 22/1 Seksyen 22 di sini.

Syarikat penyelenggara jalan negeri itu memaklumkan kerja penurapan jalan di  kawasan terbabit merupakan sebahagian daripada Projek Turapan Mega yang giat dilaksanakan pentadbiran negeri sejak Mei lalu.

Agensi itu memaklumkan menerusi Twitter, pihaknya turut menjalankan kerja baik pulih longkang dan cerun di Jalan Kampung Limau Manis, Sepang selain membaik pulih cerun bahu jalan di Jalan Dato’ Dagang Mondok, Dengkil pada 30 Mei lalu.

Kelmarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Projek Turapan Mega di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer yang bermula 1 Jun dijangka siap sepenuhnya penghujung Julai ini.

Projek berskala besar dengan peruntukan RM50 juta merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan jalan raya di seluruh negeri ini berada dalam keadaan baik sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan kemalangan.

Pada 13 Mei, Amirudin turut mengumumkan Selangor menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk membaiki jalan kampung seluruh negeri.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel bagi memastikan keselesaan pengguna.

Semua jalan berlubang itu dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai.

Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja baik pulih jalan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ di Jalan 22/1 Seksyen 22 Shah Alam pada 2 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel

Pengarang :