Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyemak dan mengemas kini maklumat asnaf di di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil pada 1 Jun 2023. Foto Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS perkemas data asnaf, semak kadar layak penerima bantuan

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 4 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melaksanakan program menyemak dan mengemas kini maklumat asnaf di sekitar Tanjong Karang dan Dengkil.

Agensi itu memaklumkan program turun padang itu bertujuan meneliti semula kelayakan penerima bantuan berdasarkan had kifayah dan pendapatan terkini selain memastikan kadar bantuan diterima mengikut tanggungan sebenar.

“Secara keseluruhan seramai 481 asnaf terlibat dalam semakan ini. Program di Masjid Sungai Gulang-Gulang Tanjong Karang dihadiri 373 asnaf melibatkan 11 masjid di kawasan Tanjong Karang manakala 108 asnaf menghadiri program yang dijalankan di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil.

“Untuk makluman, mereka yang tersenarai dalam kategori asnaf fakir miskin perlu membuat kemas kini sekiranya berlaku sebarang perubahan dalam keluarga, sama ada kelahiran baharu mahupun kematian. Kemas kini boleh terus dibuat di cawangan LZS berdekatan,” maklumnya di Facebook.

Pada 22 Mei lalu, LZS mengumumkan mencatat pencapaian bersejarah dengan prestasi agihan dan kutipan zakat melebihi RM1 bilion, tertinggi sejak penubuhannya selama lebih 25 tahun.

Agensi itu mengagihkan zakat sebanyak RM1.05 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 13.8 peratus berbanding RM922 juta pada tahun sebelumnya

Agihan bantuan zakat berkenaan memberi manfaat kepada 350,000 individu asnaf dan pelbagai organisasi di Selangor menerusi program pembangunan sosial, pendidikan, institusi agama, insan dan ekonomi serta bantuan khas melalui Zakat Selangor Peduli.

Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyemak dan mengemas kini maklumat asnaf dalam program semakan di Masjid Sungai Gulang-Gulang Tanjong Karang pada 30 Mei 2023. Foto Facebook LZS


Pengarang :