Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media khas sempena 5 tahun pentadbirannya di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RS-1 bukti pentadbiran negeri punyai hala tuju jelas, jamin kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 19 JUN: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan negeri antara bukti pentadbiran sedia ada mempunyai hala tuju jelas demi kesejahteraan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain RS-1, antara inisiatif lain yang diwujudkan untuk membantu rakyat adalah Pakej Kita Selangor dan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

“RS-1 adalah bukti kita ada perancangan berdasarkan data dan maklumat dikutip. Malah, kita menangani krisis-krisis dengan penuh berhemah dan proaktif sehingga Selangor kekal penyumbang ekonomi terbesar negara.

“Dasar kebajikan pula telah dikembangkan kepada 46 program termasuk menyantuni penghantar barangan secara sambilan, anak-anak istimewa dan program pendidikan komprehensif.

“Ini tidak termasuk lagi pembinaan perumahan, kebudayaan, Projek Skim Jaminan Air Selangor (SJAM), Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan Smart Parking,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media khas sempena lima tahun pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Awal tahun lalu ketika menyampaikan amanat tahun baharu kepada penjawat awam, Amirudin berkata RS-1 merupakan kemuncak agenda pembangunan negeri yang dirancang beberapa tahun ini.

RS-1 yang dibentang pada Julai tahun lalu melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.


Pengarang :