Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan kesihatan percuma, lebih 3,000 dapat manfaat tempoh enam bulan

SHAH ALAM, 26 JUN: Seramai 3,489 individu menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah peserta program kesihatan itu melibatkan penyertaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menerusi fasa satu dan dua.

“Fasa dua baharu selesai minggu lalu. Berdasarkan data rekodkan, peserta wanita lebih ramai memeriksa kesihatan mereka berbanding lelaki.

“Dari aspek peringkat umur, golongan berusia  antara 30 tahun hingga 45 tahun juga ramai mendaftar untuk mengesan penyakit lebih awal,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah berkata saringan percuma akan disambung dalam masa terdekat yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan pengurusan bersama (JMB) atau agensi tertentu.

“Jadi kita minta penduduk memanfaatkan peluang untuk memeriksa kesihataan diri. Jangan lepaskan peluang lakukan saringan kesihatan percuma ini,” katanya.

Selangor Saring diperkenal tahun lalu bagi menjaga kesihatan selain membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal, terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Membabitkan kos RM3.4 juta yang ditanggung sepenuhnya pentadbiran negeri, peserta boleh menjalani saringan air kencing, mata, barah pangkal rahim, payu dara dan prostat serta ujian darah.

Skim tersebut ditambah baik tahun ini dengan beberapa lagi khidmat saringan disediakan antaranya pemeriksaan gigi dan telinga selain mengadakan sesi fisioterapi.


Pengarang :