Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menunjukkan dokumen selepas menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 18 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tanaman jagung di Kuala Langat bermula Julai, lagi 200 ekar di Bestari Jaya

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 22 JUN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mula menanam jagung bijirin secara berperingkat di tanah seluas 200 ekar di Sungai Kelambu, Kuala Langat Selatan bulan depan.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata projek di bawah Program Inisiatif Sekuriti Makanan itu tergendala sebelum ini kerana beberapa masalah teknikal selain tanah dinaiki air akibat banjir.

“Selain di Sungai Kelambu, PKPS juga menambah satu lagi kawasan baharu untuk projek sama di tanah seluas 200 ekar bersebelahan Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya yang akan dimulakan tahun depan,” kata Dr Mohamad Khairil Mohd Razi ketika dihubungi.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi 

Tambah beliau, kawasan tanaman seluas 300 ekar di Gemas, Negeri Sembilan pula masih belum dimulakan ekoran beberapa isu teknikal yang masih belum selesai.

Pada 18 Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri melalui PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Negeri Sembilan bagi melaksanakan projek tanaman jagung bijirin.

Secara keseluruhan, projek di Kuala Langat dan Negeri Sembilan yang menelan kos RM3 juta yang dijangka mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import makanan ayam dan ruminan di Selangor.

Satu lagi projek tanaman jagung bijirin yang diusahakan di atas tanah seluas 300 ekar di Mergong, Kedah telah membuahkan hasil dan mula diproses menjadi makanan ayam pada Januari tahun ini.


Pengarang :