Pengunjung membeli ayam ketika tinjauan Media Selangor semasa program jualan murah di Tapak Pasar Malam Berjaya Park, Shah Alam pada 25 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor jalin kerjasama hasilkan benih jagung, atasi isu harga ayam

GOMBAK, 24 MEI: Kerajaan Negeri mencapai perjanjian awal dengan sebuah syarikat swasta bagi menghasilkan benih jagung sebagai alternatif makanan ayam.

EXCO permodenan dan asas tani berkata usaha itu adalah pelan jangka panjang bagi mengatasi isu harga makanan ayam yang meningkat akibat kebergantungan bekalan import.

“Sebanyak 85 peratus harga ayam bergantung pada makanan jadi apabila kita dapat sediakan bekalan makanan ia dapat mengurangkan harga ayam.

“Kita sediakan tanah untuk tanam dengan kos satu tan RM500 berbanding RM1,000 jika dibeli di luar,” kata Ir Izham Hashim pada sidang media di Pejabat Pertanian Daerah Gombak.

Beliau berkata penyelesaian kepada isu benih yang sesuai ditanam di negara ini sudah ada di Selangor dan pihaknya sedia bekerjasama dengan negeri lain.

“Kalau negeri lain minat nak tanam saya yakin ia akan beri hasil yang lumayan. Negeri lain yang tanah banyak boleh usahakan jangan bimbang ayam akan meningkat.

“Saya ingat dalam sebulan dua lagi kita boleh usahakannya kerana lokasinya sudah ada iaitu di Sabak Bernam,” katanya.

Selain itu Izham berkata pelan jangka panjang lain mengatasi isu harga ayam ialah projek tanaman jagung bijirin di Kuala Langat Selatan, Kuala Langat dan Gemas, Negeri Sembilan.

Pada 18 Mei, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS bagi kerjasama tanaman jagung bijirin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berkenaan mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import antara dua hingga tiga peratus.

Projek yang menelan belanja RM3 juta itu diangka bermula sebaik kerja pembersihan selesai dijangka pada suku ketiga tahun ini.


Pengarang :