Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Parlimen Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah pada 6 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan minyak masak 1kg terima sambutan, lebih 500 paket habis tempoh sejam

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 16 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mula menjual minyak masak paket satu kilogram (kg) di tiga lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) khas mulai semalam.

Pengurus Kanan Pemasarannya Mohd Fazir Abdul Latif berkata tiga lokasi tersebut tidak termasuk dalam senarai sembilan lokasi harian jualan murah barangan asas.

“JER khas ini merupakan program tambahan yang diuruskan sektor pemasaran PKPS. Sebagai permulaan, 170 paket minyak masak dijual bagi setiap lokasi atau 510 paket secara keseluruhan.

Pengurus Kanan Pemasaran PKPS Md Fazir Abdul Latif. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“JER khas ini diadakan setiap hari kecuali Jumaat cuma lokasinya tidak dihebahkan di media sosial. Untuk semalam dan hari ini minyak masak paket yang kita jual habis dibeli tidak sampai sejam,” katanya kepada Selangorkini.

Mohd Fazir berkata PKPS berusaha menambah baik program jualan murah terutama jenis barangan yang dijual dari semasa ke semasa.

“JER khas ini dijalankan secara berjadual mengikut keperluan dan permohonan pihak tertentu seperti agensi kerajaan. Barangan yang dijual juga ditambah dengan barangan kering dan sejuk beku jenama Ehsan,” katanya.

Mengenai jualan gula paket satu kilogram, Mohd Fazir memberitahu keputusan mengenainya akan dibuat minggu hadapan.

“PKPS sedang mohon lesen import daripada  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup supaya kita boleh import gula terus dari negara luar bagi atasi masalah bekalan,” katanya.

Inisiatif meringankan beban rakyat itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Susulan sambutan orang ramai, program kendalian PKPS itu diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Pada 12 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata subsidi hampir RM23 juta dibelanjakan setakat ini bagi meringankan beban rakyat membeli barangan keperluan asas menerusi program jualan murah.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

 


Pengarang :