Timbalan Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) bersama Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melancarkan jentera Pilihan Raya Perpaduan DUN Hulu Kelang di Melawati Square pada 19 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kempen fitnah dalam PRU15 dorong pengundi kembali sokong HARAPAN-BN

GOMBAK, 20 JULAI: Pembohongan dalam kempen Perikatan Nasional (PN) sebelum ini akan mengalih sokongan penyokong mereka kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Mohamad Sabu percaya pelbagai fitnah dalam pilihan raya umum lalu menyebabkan sebahagian pengundi terpedaya hingga ada pemimpin utama HARAPAN tewas.

Katanya, dakwaan kononnya pelajar wanita akan diarah memakai skirt dan perkahwinan golongan lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT) dibenarkan di Malaysia terbukti tidak benar.

“Adakah Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengizinkan LGBT? Satu pembohongan telah selesai. Inilah yang mereka bohong selama ini.

“Setelah lapan bulan memerintah, adakah arahan dari Kementerian Pendidikan untuk pelajar wanita pakai skirt di sekolah? Jelas pembohongan telah dilakukan.

“Sebab itu, mereka yang mengundi PN dulu sedang berduyun-duyun kembali sokong Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya Perpaduan di sini malam tadi.

Hadir sama dalam program peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Pengerusi HARAPAN Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengerusi BN negeri Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Mengikut rekod, pemakaian tudung dan baju kurung dalam kalangan pelajar dan seluar panjang (untuk lelaki) diperkenal Anwar ketika menerajui Yayasan Anda Akademik sekitar 1970-an.

Proses berkenaan kemudian berkembang luas ke kampus menara gading di negara ini dan usaha itu berterusan apabila Anwar menjadi menteri pendidikan pada 1980-an.


Pengarang :