EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail melawat projek reban ayam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat di Kampung Tumbuk Darat, Mukim Batu, Kuala Langat pada 19 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Usahawan diseru lebih kreatif, inovatif, teroka perniagaan skala besar

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LANGAT, 20 JULAI: Usahawan diseru mengambil pendekatan membangunkan perniagaan lebih kreatif, inovatif dan meneroka konsep perniagaan berskala besar.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata usahawan pada masa kini perlu mempunyai minda perniagaan lebih luas dan tidak terlalu bergantung dengan menjaja.

“Saya mahu usahawan mengambil pendekatan inovasi dan kreativiti dalam membangunkan perniagaan selain terbuka untuk meneroka dalam ‘mass’ perniagaan (skala besar).

“Seperti Ramly Burger yang membuka kilang besar di Pulau Indah dan projek reban ayam di Kuala Langat.

“Walaupun sektor usahawan pertanian dan perladangan tidak banyak peratusannya berbanding industri perkhidmatan tetapi permulaan itu penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek reban ayam daging Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Tanjung Sepat, di sini semalam.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail diberi taklimat ketika melawat projek reban ayam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat di Kampung Tumbuk Darat, Mukim Batu, Kuala Langat pada 19 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Turut hadir, Pengerusi PPK Kuala Langat, A Razak Khasbullah; Pengurus Besar PPK Kuala Langat merangkap pengusaha projek reban ayam, Ahmad Firdaus Abdul Halim; Pengarah Kumpulan Ramly, Siti Hayu Ramly serta wakil Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga itu berkata, usaha itu bagi memastikan usahawan Selangor dapat memanfaatkan teknologi supaya terlibat secara langsung dalam industri keterjaminan makanan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas melawat projek reban ayam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat di Kampung Tumbuk Darat, Mukim Batu, Kuala Langat pada 19 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 11 Jun lalu, Kerajaan Negeri Selangor dilaporkan akan melancarkan Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana Negeri Selangor 2023-2027.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, penghasilan pelan strategik itu diterajui oleh Rodziah yang akan menjadi rujukan bagi memacu budaya keusahawanan di Selangor.


Pengarang :