Penyandang DUN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman menyampaikan anugerah kepada pelajar pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 peringkat Paya Jaras di tapak parkir Pasar raya Econsave, Paya Jaras pada 19 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri buka peluang pelajar ikuti bidang kemahiran TVET di STDC

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SUNGAI BULOH, 20 Julai: Golongan pelajar khususnya di Selangor yang meminati bidang kemahiran berpeluang melanjutkan pengajian menerusi program kemahiran dan vokasional (TVET) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), kata EXCO Pembangunan Modal Insan.

Mohd Khairuddin Othman berkata Kerajaan Negeri tidak hanya mengiktiraf pelajar yang memiliki keputusan cemerlang semata-mata, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada mereka yang meminati bidang kemahiran.

“Rakyat Selangor perlu ingat bahawa kita sangat beruntung kerana diberikan banyak kelebihan dari segi kewangan iaitu sumber dari Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, manfaatkan peluang sedia ada untuk menimba ilmu bersungguh-sungguh agar kita dapat bersama-sama bangunkan negeri ini,” katanya pada sidang media Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di sini semalam.

Penyandang DUN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman bergambar bersama penerima Anugerah Pelajar Terbaik Henry Yap Jet Kang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 peringkat Paya Jaras di tapak parkir Pasar raya Econsave, Paya Jaras pada 19 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Penyandang DUN Paya Jaras itu berkata, Kerajaan Negeri juga telah memeterai perjanjian bersama STDC dan Persatuan Anak Yatim Selangor untuk memberi peluang sama kepada penghuni rumah perlindungan itu meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran.

“Sekarang sudah ada 25 pelajar menyertai kursus ini dan kita harap peluang ini tidak diabaikan.

“Kalau pelajar sudah tamat Tingkatan 5, minta mereka ikuti program ini atau melanjutkan pengajian di peringkat universiti, jangan lepaskan mereka tanpa kemahiran kerana kita bimbang mereka tidak mampu meneruskan kehidupan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sumbangan wang tunai RM200 kepada 340 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) DUN Paya Jaras melibatkan peruntukan RM68,000 daripada Kerajaan Negeri.

“Pelajar yang menerima pengiktirafan ini adalah daripada enam sekolah dengan memperolehi keputusan lima hingga sembilan A.

“Saya berharap program ini dapat dikekalkan dalam skala lebih besar, mudah-mudahan menjadi motivasi kepada kerajaan dan pelajar pada masa depan,” katanya.


Pengarang :