Orang ramai beratur untuk membeli barangan keperluan asas yang dijual lebih murah berbanding dipasaran pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Taman Medan di Masjid As-Salam, Petaling Jaya pada 5 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 300 kunjungi JER DUN Taman Medan, semua barangan habis dalam dua jam

Oleh AMIRUL FAZLI

PETALING JAYA, 6 JULAI: Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan terus mendapat sambutan apabila kesemua barangan habis dalam tempoh dua jam.

Penolong Pengurus Kanan Kejuruteraan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Shahrul Adnira berkata lebih 300 penduduk beratur sejak 8.30 pagi meskipun jualan bermula pada 10.00 pagi.

Katanya, ayam dan telur antara barangan paling tinggi mendapat permintaan penduduk yang mengunjungi jualan murah di Masjid Al-Salam Taman Medan, di sini.

Penolong Pengurus Kanan Kejuruteraan PKPS Shahrul Adnira Mohd Noor ketika ditemui pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Taman Medan di Masjid As-Salam, Petaling Jaya pada 5 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kita hadkan beberapa barang pada awal jualanbagi memastikan semua pengunjung berpeluang membeli.

“Contohnya seperti ayam hanya dua ekor seorang manakala telur sepapan untuk seorang,”katanya ketika ditemui hari ini.

JER kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pengurus Kanan Pemasarannya Mohd Fazir Abdul Latif berkata buat permulaan minyak paket itu dijual secara berperingkat di tiga lokasi JER terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Orang ramai membawa pulang barangan keperluan asas yang dibeli pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Taman Medan di Masjid As-Salam, Petaling Jaya pada 5 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :