Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas murah pada Jelajah Ehsan Rahmah peringkat Parlimen Klang di Masjid Sirajuddin Al Annuar Kampung Batu Belah, Klang pada 8 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 500 kunjungi JER Parlimen Klang, 300 ayam, 200 papan telur terjual kurang 40 minit

Oleh DIANA ABD WAHAB

KLANG, 8 JULAI: Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Parlimen Klang di perkarangan Masjid Sirajuddin Al-Annuar, Kampung Batu Belah di sini hari ini mendapat sambutan dengan lebih 300 ekor ayam dan 200 papan telur terjual dalam tempoh 40 minit.

Wakil Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata jualan murah yang dihadiri lebih 500 pengunjung merekodkan nilai jualan lebih RM18,000 selepas semua barangan habis pada 12.30 tengah hari.

Wakil Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Norlinda Abu Kassim

“Kita mulakan jualan pada 10 pagi, namun hanya 40 minit lebih 300 ekor ayam dan 200 papan telur sudah terjual.

“Barangan lain seperti beras dan ikan turut dapat permintaan tinggi, namun pembelian daging perlahan mungkin disebabkan umat Islam baharu sahaja meraikan Aidiladha,” kata Norlinda Abu Kassim.

Pada jualan murah berkenaan, PKPS membawa 500 ekor ayam, 300 papan telur, 300 pek beras lima kg, 144 botol minyak masak lima kg, 300 pek ikan dan daging sejuk beku.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas murah pada Jelajah Ehsan Rahmah peringkat Parlimen Klang di Masjid Sirajuddin Al Annuar Kampung Batu Belah, Klang pada 8 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pengurus Kanan Pemasarannya Mohd Fazir Abdul Latif berkata buat permulaan minyak paket itu dijual secara berperingkat di tiga lokasi JER terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :