Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Kota Raja di Tapak Pasar Malam Kampung Baru Hicom pada 8 JULAI 2023. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

400 ekor ayam terjual dalam 45 minit di JER Kota Raja

SHAH ALAM, 8 JULAI: Sebanyak 400 ekor ayam habis dijual dalam tempoh 45 minit pada Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Parlimen Kota Raja di tapak pasar malam Kampung Baru Hicom di sini, hari ini.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Jualan Hartanah Perbandanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Fazir Latiff berkata situasi itu kerana orang ramai tidak mahu lepaskan peluang membeli ayam pada harga RM10 seekor.

“Kita menerima anggaran 300 hingga 400 pengunjung hari ini, paling laris ayam di mana 400 ekor terjual dalam tempoh 45 minit kerana harga ditawarkan murah iaitu RM10 berbanding pasaran luar RM18 hingga RM20.

“Sambutan cukup baik, kita buat keputusan buka awal 9.45 pagi memandangkan cuaca panas dan penduduk telah beratur sejak awal pagi,” katanya.

Pengurus Kanan PKPS, Pemasaran dan Jualan Fazir Latiff pada Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Kota Raja yang diadakan di Tapak Pasar Malam Kampung Baru Hicom pada 8 JULAI 2023. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) V. Vpapparaidu berkata penganjuran program berkenaan menjadi keutamaan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk.

“Sudah 20 kali diadakan program jualan murah ini. Program ini menjadi keutamaan kami kerana rakyat sentiasa tertunggu dan tanya ketua kampung masing-masing dan ahli majlis bila program ini akan diadakan lagi.

“Ternyata program ini menjadi pilihan rakyat untuk dapatkan barangan asas,” katanya ketika ditemui.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pengurus Kanan Pemasarannya Mohd Fazir Abdul Latif berkata buat permulaan minyak paket itu dijual secara berperingkat di tiga lokasi JER terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :