Aktiviti pengasingan barangan kitar semula mengikut kategori oleh pelajar-pelajar sekolah pada Hari Terbuka Kitar Semula MPAJ di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 21 Jun 2023. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

Menuju bandar berdaya huni, MPAJ tingkat kesedaran amalan kitar semula

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 5 JULAI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan program ‘Waste to Food’ sebagai salah satu inisiatif menuju bandar berdaya huni.

Bermula sejak 2021, MPAJ berkata matlamat program adalah bagi memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal serta pengasingan sampah.

“Melalui program ini, warga Ampang Jaya berpeluang menukar barangan kitar semula kepada barangan keperluan asas seperti tepung gandum, susu tin dan gula.

“Penukaran boleh dibuat di Menara MPAJ atau semasa Hari Tanpa Kenderaan pada Ahad minggu kedua setiap bulan,” kata bahagian perhubungan awam dan sekretariat MPAJ menerusi kenyataan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan setiap individu yang mendaftar perlu mengumpul sebanyak 15 cop (satu cop diberi bagi setiap kilogram barangan kitar semula) untuk menukar kepada barangan keperluan harian

“Antara barangan yang diterima adalah plastik, kotak, kertas, surat khabar, tin aluminium, besi dan barangan elektronik (E-waste).

“Sejak Januari 2023, sebanyak 1,764.5kg barangan kitar semula berjaya dikumpulkan melalui program tersebut,” katanya.

Bagi memupuk kesedaran sejak di bangku sekolah, MPAJ turut menganjurkan Hari Terbuka Pusat Kitar Semula yang disertai 120 orang pelajar dan guru sekolah di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 21 Jun lalu.

Orang ramai boleh membuat pertanyaan lanjut dengan menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPAJ di talian 03-42857044.

Aktiviti pengasingan barangan kitar semula mengikut kategori oleh pelajar-pelajar sekolah pada Hari Terbuka Kitar Semula MPAJ di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 21 Jun 2023. Foto Facebook MPAJ

Pengarang :