Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas (tiga dari kiri) ketika melawat ruang pameran selepas melancarkan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS ) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelaburan Tesla di Selangor cipta peluang kerja, bukti kejayaan dasar kerajaan

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pelaburan Tesla Inc di Selangor bakal memberi manfaat kepada rakyat negeri ini menerusi peluang pekerjaan dan limpahan kemakmuran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemasukan syarikat kenderaan elektrik itu membuktikan kejayaan dasar negeri serta kestabilan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Selangor bersedia untuk bekerjasama dan berbesar hati untuk memudah cara dengan syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc untuk membuka ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman di Selangor.

“Pertemuan dan perbincangan di antara YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk turut disertai YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Tengku Zafrul, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, serta Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil berjaya membuahkan hasil. Syabas dan terima kasih saya rakamkan,” katanya di Facebook.

Beliau turut menyatakan keyakinan visi Kerajaan Negeri menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bakal menarik lebih banyak pelaburan.

“Dengan visi Kerajaan Selangor menerusi RS-1 yang bakal memakmurkan utara dan selatan Selangor, saya yakin insya-Allah lebih banyak pelaburan dan kejayaan bakal dicapai Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc bakal membuka ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman di Selangor pada tahun ini.

Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan dan perbincangan Elon Musk bersama Anwar semalam.


Pengarang :