Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kepada Pengetua SMK Seksyen 18 Kamali Murid di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 21 Julai 2023. FOTO MBI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program tuisyen percuma ubah nasib pelajar lemah, keluarga kurang mampu

SHAH ALAM, 21 JULAI : Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) amat membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutama dalam kalangan pelajar lemah dan kurang berkemampuan meraih kejayaan.

Pengetua SMK Seksyen 18 Kamali Murid. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 Kamali Murid berkata inisiatif tuisyen percuma juga memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran menerusi pemberian modul mata pelajaran.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan modul mata pelajaran yang sangat membantu guru serta pelajar

“Tahun lalu hampir 60 pelajar SMK Seksyen 18 berjaya memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran,” katanya ditemui pada majlis serahan modul PTRS oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di SMK Seksyen 18 hari ini.

Sementara itu, guru SMK Bandar Sunway Fauzul Hakim Jamali berkata modul PTRS sangat praktikal dan memudahkan pelajar melatih tubi soalan untuk persediaan menghadapi SPM.

Guru SMK Bandar Sunway Fauzul Hakim Jamali. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya sendiri pernah menjadi penyelaras bagi PTRS. Inisiatif ini ternyata amat membantu pelajar lemah memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

“Keputusan SPM tahun lalu di SMK Bandar Sunway juga menunjukkan peningkatan terutama mata pelajaran Sejarah daripada 72 peratus pada 2021, meningkat kepada 94.3 peratus pada 2022,” katanya yang juga guru Sejarah.

Guru SMK USJ 8 Thayabaran turut memuji inisiatif negeri mewujudkan PTRS kerana dapat membantu pelajar dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan (B40).

“Seperti kita tahu, kebanyakan pelajar dari keluarga B40 tidak mampu keluarkan wang tambahan untuk ke tuisyen. Justeru, inisiatif seperti PTRS ini amat membantu mereka. Semoga program ini diteruskan sepanjang masa,” katanya.

Guru kanan matapelajaran SMK USJ 8 Thayabaran. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada 6 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 65,000 pelajar mengikuti program tuisyen percuma negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bilangan penerima manfaat itu meningkat 10 kali ganda sejak pentadbiran Pakatan Harapan, seiring agenda negeri untuk melahirkan masyarakat berilmu.

Tahun lalu, sebanyak RM7 juta diperuntuk untuk menjayakan PTRS bagi memantapkan pengisian portal http://ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Program tersebut turut diperkenal secara dalam talian bagi membantu pelajar ketika negara dilanda pandemik Covid-19


Pengarang :