(Dari kiri) Ahli Dewan di-Raja Selangor Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang, Ahli Dewan di-Raja Selangor Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Orang Besar Daerah Petaling Datuk Emran Abdul Kadir, Ahli Dewan di-Raja Selangor Tan Sri Dato’ Setia Mohd Zawawi Salleh dan Orang Kaya Maha Bijaya Klang Dato Setia Mohammed Khusrin Munawi menunjukkan laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 14 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan zahir penghargaan pada Dewan di-Raja, lapor polis kenyataan Sanusi

SHAH ALAM, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahir penghargaan kepada ahli Dewan di-Raja yang membuat laporan polis pada 14 Julai susulan kenyataan menteri besar Kedah.

Setiausaha sulit kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkata Baginda juga amat berbesar hati atas sokongan ditunjukkan ahli dewan berkenaan serta semua pihak berkaitan.

“DYMM Tuanku juga amat berbesar hati atas sokongan yang ditunjukkan ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor serta semua pihak yang berkaitan,” kata Dato’ Mohamad Munir Bani dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu susulan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah, yang dianggap menghina dan mempertikai kewibawaan institusi diraja berhubung pemilihan jawatan Dato’ Menteri Besar.

Terdahulu, Baginda yang menerima menghadap Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan bertitah kenyataan Muhammad Sanusi yang menghina institusi diraja Selangor “masih belum selesai.”

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap perkara tersebut tidak terhenti meskipun Muhammad Sanusi dilaporkan memohon ampun kepada Sultan Selangor.

Wakil rakyat PAS itu juga sudah memberi keterangan kepada polis Bukit Aman pada 14 Julai, dengan mendakwa ucapannya sengaja diputar belit bagi menimbulkan salah faham.


Pengarang :