Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan bantuan kewangan kepada pesawah yang terkesan dengan hasil pengeluaran di Masjid At-Tuqo, Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

2,500 pesawah DUN Sungai Burong terjejas terima bantuan RM500

Oleh NAJAMUDDIN MOHD NOR

SHAH ALAM, 17 JULAI: Seramai 2,500 pesawah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong yang terjejas susulan kemerosotan hasil pengeluaran menerima insentif RM500 daripada Kerajaan Negeri.

Penyandang kerusi DUN Sungai Burong berkata menerusi insentif bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) meliputi bantuan tunai RM300 dan RM200 dalam bentuk input pertanian untuk setiap pesawah.

Memuji keprihatinan Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Shamsudin Lias menambah bantuan berkenaan meringankan beban pesawah selain membantu meningkatkan pengeluaran padi pada musim akan datang.

“Saya bersyukur, berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shaari yang tidak menyisihkan DUN Sungai Burong walaupun sebahagian besar dalam penggal ini merupakan kawasan pembangkang.

“Untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi, Kerajaan Negeri memutuskan untuk menggunakan benih padi yang baik dan sekitar 2,500 pesawah di sini telah menerima peruntukan benih padi dan baja untuk setiap satu lot atau 3 ekar sawah,” katanya ketika dihubungi.

Justeru, Mohd Shamsudin menegaskan betapa pentingnya memiliki pemerintahan Kerajaan Negari yang selari dengan Kerajaan Persekutuan agar segala perancangan untuk rakyat dapat dilaksanakan secara bersepadu.

“Walaupun Dato’ Menteri Besar tidak pernah menyisihkan rakyat di Sungai Burong sebelum ini, tetapi sejak berada dalam Kerajaan Perpaduan segala bentuk program untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan mudah.

“Jadi yang untungnya rakyat, banyak manfaat jika pemerintah negeri sama dengan pemerintah di pusat,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri memberi insentif RM500 meliputi pemberian wang tunai sebanyak RM300 manakala baki RM200 untuk input pertanian kepada 9,000 pesawah yang terkesan dengan kekurangan pengeluaran hasil.


Pengarang :